fbpx

Blog

Perbahasan khusyuk dalam solat

Sejak kebelakangan ini, wujud ramai individu yang mempertikaikan kewajipan solat.
.
Ada yang mengatakan bahawa kalau tidak khusyuk, tidak perlu bersolat.
.
Katanya kalau solat tetapi tidak khusyuk, akan mendapat celaan Allah.
.
Itulah apa yang diperkatakan oleh mereka yang memegang ilmu kalam semata-mata.
.
Nak tahu apa itu khusyuk? Jom kita dengarkan nukilan imam-imam terdahulu.
.
Kata Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah Rahimahullah: Khusyuk adalah berdirinya hati di hadapan Tuhan dengan penuh ketundukan dan perasaan hina diri. 
.
Ibn Al-Qayyim juga turut menyatakan pendapat tokoh ulama tasawuf iaitu Imam Junaid Al-Baghdadi Rahimahullah yang berkata: Khusyuk adalah; Perasaan rendah diri di dalam hati ke hadapan Tuhan yang Maha Mengetahui perkara ghaib. [Rujuk Madarij Al-Salikin (1/521)].
.
Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah turut memberikan definisi yang menarik berkenaan khusyuk. 
.
Kata beliau: Asal bagi khusyuk adalah perasaan lembut jantung hati, tenang, tunduk serta tetapnya ia. [Lihat Al-Khusyuk Fi Al-Solat, Ibn Rajab Al-Hanbali (Hlm. 17)].
.
Berkenaan ganjaran bagi golongan ini, Allah S.W.T telah menyatakan akan kejayaan yang diperoleh bagi hamba-hamba-Nya yang khusyuk di dalam solat mereka. 
.
Hal ini dinyatakan melalui firman-Nya:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. Yang mana mereka itu khusyuk di dalam solat mereka.
.
Surah Al-Mu’minuun (1-2)
.
.
.
Para mufassirun (ulama tafsir) menyatakan beberapa pengertian terhadap khusyuk di dalam solat. 
.
Imam Al-Syaukani ketika mengulas ayat ini berkata: Khusyuk adalah sebahagian ulama memasukkannya sebagai sebahagian daripada perbuatan hati seperti perasaan takut dan juga gerun. 
.
Manakala sebahagian yang lain mengatakan ia termasuk sebahagian dari perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana sini, dan tidak melakukan perkara sia-sia di dalam solat.
.
Dan dari segi bahasa khusyuk bermaksud: Tenang, tawadhu’ (rendah diri), takut, dan juga perasaan hina diri. [Lihat Fath al-Qadir, Al-Syaukani (1/977)].
.
Imam Al-Thabari Rahimahullah pula mendatangkan beberapa pendapat tokoh ulama salaf berkenaan pengertian khusyuk di dalam solat. 
.
Kata Imam Mujahid dan Imam Ibn Syihab Al-Zuhri: Khusyuk dalam solat adalah dengan cara tenang di dalamnya.
.
Kata Amirul Mu’minin Ali bin Abi Thalib R.Anh ketika ditanyakan berkenaan ayat ini: Khusyuk di dalam solat itu bererti: Janganlah kamu berpaling ke sana sini di dalam solat kamu.
.
Kata Al-Hasan: Mereka khusyuk di dalam jantung hati mereka. Maka mereka pun menundukkan pandangan serta merendahkan sayap mereka. [Rujuk Tafsir Al-Thabari, Ibn Jarir al-Thabari (19/8-9)].
.
Berdasarkan pendapat beberapa tokoh ulama di atas, perkara yang dapat kita simpulkan berkenaan definisi khusyuk adalah perbuatan hati yang meliputi perasaan takut, rendah diri, perasaan hina di hadapan Allah yang menzahirkan perbuatan anggota badan seperti tenang di dalam solat, tidak berpaling ke sana-sini, serta menundukkan pandangan ketika solat.

2 thoughts on “Perbahasan khusyuk dalam solat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *